SEREMBAN – Lima sekawan termasuk remaja lelaki di bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas mangsa seorang pelajar sekolah dan melakukan rusuhan seperti dalam video tular di media sosial, awal bulan lalu.
Kesemua lima tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Tertuduh tersebut ialah Shazrin Shah Mohd. Norazham, 19, Nur Ariq Farhan Ismail, 21, Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24 dan dua pesalah di bawah umur masing-masing berusia 17 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya lebih kurang pukul 11 malam pada 8 Mei lalu.
Bagi pertuduhun kedua, di lokasi dan masa yang sama mereka dituduh secara bersama-sama dengan yang masih bebas berhimpun secara berkumpulan menggunakan kekerasan atau keganasan dengan mendatangkan cedera pada mangsa sama.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Hanif Hassan dan Muhammad Wajih Zakwan turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P.Rubini menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan Seksyen 147 Kanun Keseksaan jaminan RM6,000 ditawarkan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah mengambil kira pendapatan dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun depan bagi laporan perubatan, serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE