KOTA BHARU – Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan kesesuaian kenderaan untuk membawa anggota keselamatan termasuk dalam penugasan operasi susulan tragedi yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tragedi itu sepatutnya membuka mata semua pihak walaupun ia berlaku di luar jangkaan dan tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, setiap agensi kerajaan perlu mengambil langkah awal dalam memastikan tahap keselamatan kenderaan termasuk kesesuaian kenderaan digunakan, jumlah anggota yang sepatutnya berada dalam sesebuah kenderaan dan faktor keselamatan termasuk penggunaan tali pinggang keledar.
“Majikan atau kementerian perlu menyediakan pengangkutan bersesuaian kepada anggota-anggota terlibat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025 anjuran Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (Cawangan Timur) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan memberitahu, beliau yakin perkara berkenaan telah diberikan perhatian sebaik mungkin sebelum sesuatu pergerakan sesebuah pasukan keselamatan berlaku, namun kemalangan berkenaan tidak dapat dielakkan.
“Kita perlu lihat kembali langkah-langkah penambahbaikan bersesuaian dengan tugasan (sesebuah pasukan keselamatan), khususnya FRU. Sama ada tugasan mereka dalam bentuk pergerakan biasa, operasi atau kepada sesuatu ancaman lain.
“Kerajaan juga perlu melihat persoalan berkaitan jaminan perlindungan terhadap penjawat awam selepas pemansuhan skim pencen bagi lantikan baharu, apabila berlaku sesuatu tragesi selepas ini,” ujarnya.
Adnan berkata, perlindungan menyeluruh perlu digariskan dalam skim perkhidmatan akan datang termasuk dari segi pampasan, kebajikan waris dan keselamatan pekerjaan. – KOSMO! ONLINE