LONDON – Aprilia terus mengunci mulut selepas timbul desas-desus mengejut bahawa juara dunia, Jorge Martin mungkin meninggalkan pasukan lebih awal daripada kontraknya yang tamat pada penghujung musim 2026.
Bintang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu masih bergelut dengan kecederaan serius dan dilaporkan mahu mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya, membolehkan dia berpisah dengan Aprilia jika tiada dalam kelompok pelumba terbaik selepas Grand Prix (GP) Perancis.
Apa yang lebih mengejutkan, meskipun Martin terlepas hampir keseluruhan musim ini apabila hanya sempat menunggang beberapa jam semasa ujian pramusim di Sepang, namun klausa itu dipercayai masih boleh digunakan.
Martin sebelum ini terpaksa menarik diri daripada tiga pusingan awal akibat kecederaan pergelangan tangan dan buku lali sebelum mengalami insiden lebih teruk apabila terjatuh dalam aksi sulungnya di Qatar.
Lebih malang, Martin bukan sahaja gagal menamatkan perlumbaan tetapi turut dirempuh Fabio di Giannantonio menyebabkan patah 11 tulang rusuk serta mengalami kecederaan paru-paru.
Hanya tiga daripada 11 tulang rusuknya masih belum pulih sepenuhnya, namun tiada sebarang pengesahan diberikan berhubung tarikh sebenar dia bakal kembali menggegar litar.
Ketiadaan Martin memberi kesan besar kepada Aprilia yang kini bergelut dalam saingan dengan keputusan terbaik musim ini hanyalah tempat keempat sprint dan kelima dalam perlumbaan utama hasil usaha pelumba Trackhouse, Ai Ogura.
Ogura satu-satunya wakil Aprilia dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala pasukan itu jatuh ke tangga tercorot dalam kedudukan keseluruhan pengeluar sekali gus menjadi tamparan hebat buat jenama yang meletakkan harapan tinggi ke atas Martin.
Tiada kepastian juga mengenai hala tuju Martin pada musim 2026 sekiranya dia benar-benar memilih untuk meninggalkan Aprilia kerana satu-satunya kekosongan dalam pasukan pengeluar ketika ini berkemungkinan milik Luca Marini di Honda.
Dua tempat yang masih belum disahkan dalam pasukan bebas ialah bekas pasukan Martin, Pramac Ducati dan satu lagi bersama VR46 Racing Team. – AGENSI