KAMPAR – Jasad mendiang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Nurit Pandak selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Batu Berangkai di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Perjalanan akhir mendiang disaksikan kira-kira 150 orang termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar, Deputi Superintendan Mohd. Aster Mohamad.
Aster turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada balu mendiang, Jowissemborisxs Bah Johan, 36.
Jowissemborisxs berkata, dia menerima ketentuan takdir kehilangan anak perempuan dan suaminya dalam tempoh singkat kurang dua tahun.
“Memang berat untuk terima tetapi apakan daya ini ketentuan takdir. Saya terima seadanya. Perihal kehidupan akan ditentukan selepas ini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, bapa mendiang, Pandak Rompan, 71, turut berterima kasih kepada semua pihak yang bersusah payah menguruskan mayat anak ketiganya yang disifatkan sebagai individu yang pendiam dan berdisiplin.
“Maafkan salah dan silap anak saya (mendiang Nurit) sepanjang beliau hidup. Doakan kesejahteraannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE