PASIR MAS – Seorang guru lelaki yang dipercayai menikam anak lelakinya berusia 11 tahun hingga parah di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di Pasir Mas dekat sini pada 2 Mei lalu akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang berusia 47 tahun akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas di sini pada pukul 9 pagi.
“Kertas siasatan berhubung kes tersebut sudah lengkap dan pertuduhan terhadap suspek dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pada 2 Mei lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek telah menikam mangsa yang berusia 11 tahun sebanyak dua kali pada bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
Kama Azural berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya untuk kali ketiga.
Menurutnya, kes perceraian itu dijadualkan disebut pada 13 Mei lalu di Mahkamah Syariah Tumpat dekat sini.
“Selain itu, suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan menerima rawatan psikiatri sejak dari 2008 sehingga kini,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan mangsa kini stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, namun sukar untuk memberi keterangan kepada polis.
Katanya, mangsa trauma dengan kejadian tersebut dan kanak-kanak itu masih terkejut dengan tindakan suspek terhadapnya. – KOSMO! ONLINE