SEBERANG PERAI – Sebuah gudang penyimpanan kabel elektrik musnah dalam satu kejadian kebakaran di Taman Inderawasih, Perai di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 6.59 petang semalam dan operasi pemadaman melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.
Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan dari BBP Jalan Perak, Sungai Bakap, Bandar Perda dan Butterworth.
“Kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan kabel elektrik dua tingkat (kelas A) dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 90 peratus.
“Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan terlibat. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.59 malam tadi dan telah dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.59 malam,” katanya di sini, pagi ini.
Jelas beliau lagi, kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada keberbahayaan lain di lokasi kebakaran. -KOSMO! ONLINE