PETALING JAYA – Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 secara e-filing bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan adalah pada 15 Mei ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan berkata, kategori pembayar cukai yang terlibat termasuk individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, individu pemastautin, individu bukan pemastautin (pekerja bepengatahuan) dan pertubuhan.
Pengemukaan BN melalui e-Filing boleh dibuat menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my.
“LHDN ingin mengingatkan bahawa semua pembayar cukai tidak bertangguh dan bertanggungjawab untuk melaporkan pendapatan yang diterima dengan tepat melalui e-Borang serta membuat bayaran cukai (sekiranya ada) dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penalti lewat mengemukakan borang cukai pendapatan, kenaikan cukai dan tindakan undang-undang.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang lengkap serta terkini bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai (sekiranya berkenaan),” katanya di sini hari ini.
Katanya, kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta
Cukai Pendapatan (ACP) 1967. – KOSMO! ONLINE