MEKAH – Tiada apa yang lebih dihajatkan oleh seorang guru wanita di Padang Arafah nanti agar diangkat segala isu kesihatan supaya mampu menunaikan ibadah haji dengan mabrur.
Menurut Salbiah Ismail, 50, dia serta suami, Norazlan Mohammad Nor, 50, mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama-sama selain sudah mendaftar dengan Tabung Haji (TH) bagi menunaikan haji sejak 16 tahun lagi.
Kata guru Matematik itu, perasaannya gundah-gulana seketika selepas suami memaklumkan menerima tawaran TH untuk mengerjakan haji namun dia sebaliknya.
“Saya pelik kerana saya tidak dihubungi atau menerima sebarang makluman tawaran menerusi e-mel daripada TH. Suami minta saya rujuk dengan pejabat TH, rupa-rupanya e-mel saya bermasalah.
“Sebaik membuka ruangan spam e-mel betapa lega hati saya kerana terpanggil untuk menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya ketika ditemui di penginapan jemaah di Hotel Land Premium, di sini baru-baru ini.
Berkongsi perasaannya, Salbiah berkata, dia masih tidak percaya impian sejak 2009 itu termakbul selepas sekian lama menanti.
“Saya masih terharu, terkejut rupa-rupanya saya dipanggil ke sini, itu yang saya macam (perasaan) Ya Allah Ya Tuhan panggil saya ke sini untuk tunaikan haji.
“Kali pertama saya umrah dan akan tunai haji, rasa macam tidak percaya. Betulkah saya ke sini lebih-lebih lagi sebelum ini saya mengalami masalah sakit perempuan. Lebih-lebih lagi ketika melihat Kaabah di hadapan mata,” katanya.
Ujarnya, dia berasakan segala urusan serta perjalanannya ke Tanah Suci dipermudahkan-Nya selepas keputusan pemeriksaan kesihatan menunjukkan dia sihat untuk menunaikan haji.
“Ketika berada di Padang Arafah nanti saya mahu berdoa agar sentiasa sihat untuk jalani ibadah ini dengan sebaik-baiknya jika melihat apa yang saya lalui sebelum ke sini.
“Semoga Allah Taala kenankan, itu yang saya betul-betul hajatkan segala penyakit saya ini disembuhkan,” ujarnya.
Bagi melepas kerinduan kepada empat anak berusia 14 hingga 23 tahun di Malaysia mereka sekeluarga kerap membuat panggilan video untuk memaklumkan aktiviti di sini. – KOSMO! ONLINE