SEGAMAT – Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menjadi bukti membongkar perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas mendera seekor kucing milik jirannya di Taman Yayasan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sebelum kejadian, pemilik kucing berkenaan iaitu seorang wanita tempatan menyedari kucing jenis Turkish miliknya hilang.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis dan pihaknya mengesan satu rakaman video serta gambar kejadian itu yang tular dalam media sosial memaparkan seekor kucing dalam keadaan cedera.
“Semasa kejadian itu, ketika mencari kucingnya wanita tersebut ternampak jirannya iaitu lelaki tempatan sedang menjolok sesuatu dalam longkang. Wanita itu kemudian mendapati kucingnya di dalam longkang berlumuran darah dipercayai dipukul suspek,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, menerusi pemeriksaan rakaman CCTV di kawasan kejiranan memaparkan perbuatan suspek memukul dan melempar kucing berkenaan ke kawasan rumah tidak berpenghuni.
Ujar beliau, tangkapan suspek yang berusia 70-an berkenaan dilakukan pada pukul 12.20 tengah malam tadi dan hasil soal siasat suspek mengakui memukul kucing berkenaan kerana merasa terganggu.-KOSMO! ONLINE