TELUK INTAN – Suasana sayu dan sedih menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) di sini apabila ahli keluarga termasuk rakan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan pagi tadi tiba untuk menunggu proses bedah siasat.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ada antara mereka kelihatan menitiskan air mata selain meratapi kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.
Pengurusan Hospital Teluk Intan dilihat menyediakan khemah khas untuk memberi keselesaan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang hadir menunggu proses bedah siasat selesai.
Proses bedah siasat bermula sekitar pukul 2.30 petang dan dijangka berakhir pada 8 malam.
Dalam nahas itu, lapan anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Nahas itu melibatkan trak membawa 18 anggota FRU dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam kira-kira jam 8 pagi tadi.
Sembilan lagi yang cedera dirawat di Unit Kecemasan HTI. – KOSMO! ONLINE