TELUK INTAN – Kegagalan fungsi stereng lori muatan batu dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan kenderaan itu dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air di Langkap di sini pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Hilir Perak menerima maklumat daripada MERS999 mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 8.51 pagi.
“Kereta peronda (MPV) PK 251 diarahkan ke lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan mangsa terdiri daripada pegawai rendah (PRP) FRU Unit 5 dan pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian.
“Selain itu, seramai enam PRP FRU Unit 5 parah, manakala empat yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, trak FRU tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, trak FRU tersebut dirempuh dari hadapan oleh lori muatan pasir yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
“Polis Perak menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE