LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak akan menutup ruang buat Trent Alexander-Arnold bermain walaupun bintang pertahanan itu diejek ketika seri 2-2 dengan Arsenal di Anfield kelmarin.
Alexander-Arnold dimasukkan sebagai pemain gantinan dan menjadi ejekan penyokong selepas wujud rasa kurang senang apabila mengesahkan tidak lagi kekal bersama Liverpool musim depan dan dikaitkan berhijrah ke Real Madrid secara percuma.
“Perkara yang saya ambil kisah adalah memenangi perlawanan. Jika kami mampu melakukannya bersama Trent, saya pastinya berasa terhutang dengan pemain lain dan juga penyokong kerana Liverpool melantik saya untuk memenangi perlawanan.
“Jika saya rasa peluang menang lebih besar apabila Trent bermain, saya akan memilihnya. Trent sudah menyerlahkan apa yang dia ada menerusi beberapa hantaran lintang dan hampir memastikan kemenangan buat pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Cody Gakpo dan Luis Diaz meletakkan Liverpool di depan, namun Arsenal bangkit memperoleh dua jaringan menerusi Gabriel Martinelli serta Mikel Merino.
Slot cuba menghidupkan suasana positif terhadap reaksi peminat dan menganggap ejekan itu lebih kepada suara minoriti dan ia perlu dilihat secara lebih positif.
“Sukar buat Trent untuk harungi situasi bercampur baur seperti ini, namun bukan semua boleh dikatakan negatif.
“Semua orang ada hak menyuarakan pendapat mereka namun kali ini masih ada yang berikan tepukan kepada Trent,” katanya. – AGENSI