PENAMPILAN terbaik dipamerkan pasukan negara ketika ini bakal menjadi kekuatan utama skuad regu sepak takraw negara apabila turun membuka kempen Kumpulan D Piala Asia 2025 menentang Nepal di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Meskipun lawan dari Asia Selatan itu tidak mempunyai reputasi besar dalam arena sepak takraw, namun skuad negara tetap memilih pendekatan berhati-hati agar tidak dikejutkan di gelanggang sendiri.
Ketua pasukan, Farhan Adam menjelaskan, misi utama Malaysia untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan kali ini dengan membawa semangat perjuangan demi negara.
“Kami tidak akan memandang rendah keupayaan Nepal. Mungkin atas kertas mereka bukan ancaman besar, tetapi dalam sukan ini, apa sahaja boleh berlaku jika kita terus leka.
“Fokus kami kepada kekuatan sendiri. Latihan berjalan lancar dan kami mahu pastikan aksi pembukaan ini beri petanda awal bahawa Malaysia bukan sekadar pelengkap jadual,” katanya.
Farhan yang sebelum ini pernah mencipta sejarah menjuarai Piala Dunia Kuala Lumpur tahun lalu menegaskan, rakan sepasukannya telah menyerap segala perancangan taktikal yang diatur jurulatih, Ahmad Jais Baharun dan kini bersedia untuk menawan Stadium Titiwangsa.
“Kami tahu apa perlu dilakukan. Tiada istilah terlalu mengkaji pasukan lawan, sebaliknya kami lebih fokus kepada rentak permainan dan strategi sendiri,” jelas Farhan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Nepal, Singapura dan Filipina dengan hanya dua pasukan teratas bakal mara ke peringkat kalah mati menyebabkan kemenangan hari ini mampu menjadi kunci pembuka kepada laluan ke pentas final.