TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang terbabit kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini hari ini memiliki enam rekod kesalahan lampau.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil semakan mendapati kebanyakan kesalahan yang direkodkan adalah bersabit kes narkotik.
Bahkan, katanya, suspek berusia 45 tahun itu juga memiliki rekod kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan hasil ujian itu didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Pemandu lori telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang akhbar di Unit Forensik Hospital Teluk Intan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE