fbpx

OKU lembam, rakan pernah samun 6 kedai serbaneka di sekitar Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian sebuah kedai serbaneka yang cuba disamun dua lelaki di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu semalam. - Foto ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) lembam yang dicekup terlibat dengan kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Ibrahim di sini semalam disyaki terlibat dengan enam jenayah menggunakan modus operandi sama di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamaf berkata, siasatan mendapati, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai terlibat dalam enam kejadian samun berkawan di kedai serbaneka di kawasan pengkalan Chepa dan Kota Bharu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan di kawasan Jalan Sultanah Zainab di sini semalam kira-kira pukul 6.45 pagi iaitu selepas 45 minit cuba menyamun sebuah premis di Jalan Sultan Ibrahim.

“Sepucuk pistol tiruan jenis Walther P99, dua buah motosikal dan lain-lain barangan peribadi milik kedua-dua suspek yang digunakan semasa kejadian turut dirampas.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua kejadian itu mempunyai modus operandi yang sama iaitu suspek masuk ke dalam kedai dengan bersenjatakan satu objek yang menyerupai pistol sebelum meminta pekerja di kaunter menyerahkan sejumlah wang tunai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, ujian air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek mendapati negatif dadah.

Menurutnya, kejadian samun di Jalan Sultan Ibrahim berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 72 jam sekali gus berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan dan satu kes cubaan samun di daerah ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI