PUTRAJAYA- Pemergian lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini berikutan kesemua mangsa telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keselamatan rakyat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan anggota pasukan keselamatan yang terkesan dengan kejadian ini.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat negara, kerana mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya hari ini.
Saifuddin Nasution turut mendoakan agar dosa anggota keselamatan tersebut diampunkan dan roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman selain dianugerahkan pahala untuk segala jasa wira terbabit kepada negara.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sekurang-kurangnya lapan anggota FRU maut selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam. – KOSMO! ONLINE