PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentuk satu pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat kemalangan yang meragut 10 nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Telul Intan, Perak pagi tadi.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan itu terdiri daripada pakar-pakar selain pegawai-pegawai MOT.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian serta merangka langkah pencegahan yang berkesan agar tragedi seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Loke turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga anggota FRU yang terkorban dalam nahas itu.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat pasukan keselamatan dan negara.
“Semoga keluarga mereka yang ditinggalkan diberi ketabahan menghadapi dugaan ini,”katanya.-KOSMO! ONLINE