PUTRAJAYA – Satu mekanisme pendanaan akan diwujudkan bagi menampung dan menyokong kos pelaksanaan inisiatif serta program keselamatan jalan raya di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil. 1 2025 hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa juga bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) dapat menyalurkan 50 peratus daripada kutipan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bagi menampung inisiatif itu.
“Antara inisiatif itu termasuk langkah-langkah pencahayaan ataupun memasang lampu-lampu jalan dan lampu-lampu solar LED di kawasan-kawasan panas kemalangan.
“Kemudahan itu akan dilaksanakan segera dimana fasa pertama membabitkan jajaran Senawang – Ayer Keroh. Kita akan menambah kemudahan lampu jalan di kawasan itu.
“Pencahayaan di kawasan tersebut diharap dapat mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam terutama melibatkan lori dan bas yang meragut tujuh nyawa tahun lalu,”katanya.
Katanya, pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan jabatan berkaitan bagi menambah baik aspek keselamatan termasuk pencahayaan di Lebuh Raya Timur Barat. – KOSMO! ONLINE