KUALA PILAH – Seorang tukang cuci maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di bahu jalan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan nahas membabitkan MPV Perodua Alza dipandu lelaki berusia 33 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.
“Siasatan mendapati MPV yang dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Pilah berhenti di lorong kecemasan kira-kira 10 minit kerana kerosakan enjin.
“Kemudian datang motosikal mangsa dari arah belakang lalu melanggar bahagian kiri MPV tersebut. Penunggangnya disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE