fbpx
MARZUKI diiktiraf Malaysia Book of Records atas usaha berswafoto setiap hari selama 16 tahun.

Marzuki diiktiraf raja ‘selfie’ Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSWAFOTO atau mengambil foto diri sendiri telah menjadi aktiviti manusia terutama selepas wujudnya telefon bimbit berkamera.

Malah, selepas wujudnya media sosial, ramai yang berkongsi gambar-gambar swafoto dengan pelbagai reaksi dan sudut muka sebagai ekspresi diri.

Mengambil gambar ‘selfie’ memang suatu kebiasaan orang ramai, tetapi mengambil gambar swafoto setiap hari selama 16 tahun itu suatu yang boleh dianggap menakjubkan!

Itulah yang dilakukan oleh Marzuki Mahboob, 56, yang baru-baru ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Longest Ongoing Daily Selfie Photography Project.

Pengiktirafan ini diberi kerana usaha konsistennya berswafoto semenjak 26 Mac 2009 hingga kini dengan koleksi swafoto sebanyak 5,844 keping.

Menjadikan perkongsian swafoto di media sosial sebagai aktiviti harian, seorang pereka grafik, Marzuki atau lebih mesra disapa Gedek mengakui rutin itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan kini telah memberikan satu pencapaian yang tidak diduga buat dirinya.

Menurutnya, aktiviti berswafoto berawal pada tahun 2009 di usia 40 tahun daripada keinginannya untuk memiliki laman blog sendiri.

“Waktu itu semua orang ada blog. Saya juga mahu ada blog sendiri, cuma saya bukan orang yang pandai mengarang, maka saya memilih untuk membuat kandungan swafoto.

Marzuki juga pernah merakamkan swafoto bersama Faizal Hussin.

“Dari awal setiap hari saya akan kongsi gambar swafoto yang diambil tidak kira di mana jua saya berada, dengan pelbagai latar belakang tetapi ekspresi muka dan posisi tetap sama bersama keterangan gambar (caption) pendek bernada humor,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, meskipun hanya membuat kandungan selfie di blog, dia tidak pernah ketinggalan utuk memuat naik gambar selfie.

Berkongsi tentang penggunaan gajet, Gedek memberitahu pada peringkat awal dia menggunakan telefon bimbit berkamera dan mengambil gambar menggunakan kamera belakang sebelum kamera hadapan wujud.

Penggunaan gajet juga berubah mengikut perkembangan teknologi apabila dia kemudian beralih kepada telefon pintar daripada model telefon Iphone kepada Android seperti Oppo dan Xiaomi.

Selain menggunakan telefon, Gedek juga menggunakan peranti lain seperti kamera digital DSLR dan juga kamera komputer riba.

“Kebanyakan masa saya guna telefon pintar untuk berswafoto daripada mengguna kamera belakang dengan kualiti gambar seadanya hingga yang dilengkapi dengan kualiti tinggi.

“Semua gambar yang saya ambil juga tidak menggunakan sebarang fungsi penapis (filter) kerana tujuan saya untuk kekalkan keaslian wajah bagi memperihatkan perubahan yang berlaku sepanjang 16 tahun ini,” ujarnya yang pernah bekerja di majalah kartun ikonik, Gila- Gila dan Fantasi.

Katanya lagi, perkongsian gambar yang dilakukan juga merupakan caranya untuk meraikan usia tua dan pada masa sama menyimpan memori kehidupan sepanjang dia memulakan blognya, Blog Begins At Forty.

Kongsinya yang kini bergerak sendiri dengan kerja grafik di dalam dan luar negara, perkongsian swafoto di blognya juga mendapat perhatian ramai sehingga meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Berkongsi tentang blog, Gedek memberitahu, ia bukan sekadar blog tangkap muat tetapi memfoto wajah sendiri juga bermaksud menghentikan waktu seketika bagi merakam momen pada ketika itu.

Wajah yang terhasil adalah tentang waktu, usia dan kehidupan.

“Selama 16 tahun setiap hari jika disusun foto ini sejak mula sehingga hari ini memaparkan bagaimana masa merubah manusia terutama dari segi fizikal.

“Perubahan ini dapat dilihat apabila saya merangkumkan semua gambar dalam video di laman YouTube, Uncle Gedek, tentang evolusi selama 16 tahun daripada rambut dan janggut hitam hingga semuanya sudah putih,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dia sudah berswafoto sebelum istilah swafoto dan selfie diperkenalkan lagi, malah Gedek berswafoto sebelum kamera hadapan telefon bimbit dicipta.

Blog swafoto Gedek tidak hanya menampilkan dirinya seorang sahaja, terdapat juga gambar dia berswafoto bersama tetamu istimewa yang menyertainya baik di sebelah mahupun di belakang sebagai latar.

Antara tetamunya ialah selebriti popular seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pyanhabib, Ramli Sarip, Bell Ngasri, Altimet dan ramai lagi.

Berswafoto setiap hari dan menaikkannya di media sosial bagi Gedek adalah komitmen dan tanggungjawab. Itu juga ibarat sebuah perjanjian dengan dirinya secara peribadi.

Malah, melihat komen dan kunjungan di blog sudah cukup menjadi motivasi buat dirinya untuk meneruskan aktiviti berswafoto dan berkongsi di blognya.

Disiplin ini bukan semua mampu melakukannya dan kerana itulah MBOR menghargai usaha Gedek.

Antara ramai manusia di dunia ini yang mempunyai minat yang sama dengan Gedek, dia satu- satunya anak Malaysia mempunyai kesungguhan sebegini.

“Memang dalam dunia ini ada kumpulan yang buat swafoto setiap hari dan hanya saya sahaja dari Malaysia.

“Namun begitu saya sangat menggalakkan jika ada yang berminat melakukan perkara sama dan sebaiknya mula dari kecil atau zaman muda supaya evolusi itu dapat dilihat secara ketara,” ujarnya.

Orang ramai boleb melayari blog Gedek di pautan blogbeginsaNorty.bIogspot.com dan melihat susur masa di akaun YouTube miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN