PETALING JAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 akan diumumkan pada Selasa depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan itu daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.
Bagi calon persendirian, mereka diminta menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan keputusan tersebut.
“Pihak sekolah perlu memastikan pengurusan penyerahan keputusan STAM 2024 dilaksanakan secara cekap dan teratur.
“Calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan itu secara dalam talian di pautan myresultstam.moe.gov.my untuk
mendapatkan slip mulai pukul 10 pagi, 20 Mei hingga 6 petang, 26 Mei 2025,” katanya hari ini.
Tambah KPM, calon juga boleh menyemak keputusan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STAM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.
“Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi, 20 Mei hingga 6 petang, 26 Mei 2025,”kata KPM.
Untuk rekod, seramai 4,507 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2024 di 132 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.-KOSMO! ONLINE