KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri sedia menjadi orang tengah dalam perundingan isu tuntutan pampasan insurans rumah dan kenderaan mangsa insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu antara akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama unit bencana negeri pada petang ini.
Katanya, bagaimanapun tuntutan itu melibatkan terma dalam polisi insurans antara penduduk dan syarikat insurans.
“Apa yang boleh, kerajaan negeri mungkin boleh bantu jadi mediator sebab ini adalah perjanjian antara kedua-dua pihak iaitu penduduk dan syarikat insurans.
“Jadi, polisi insurans itu ada tertera dalam penjanjian (tuntutan insurans). Namun, kerajaan negeri sedia bantu namun akan menyelesaikan isu asas dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sebahagian penduduk yang terkesan dengan insiden tersebut mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam usaha menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan kejadian malang itu berlaku.
Setiausaha Persatuan Penduduk Topaz Putra Heights Lau Cheng Chew dilaporkan menyatakan penduduk meluahkan rasa kecewa apabila mendapati jumlah tuntutan yang diluluskan syarikat insurans adalah rendah, meskipun kediaman dan kenderaan mereka terdedah kepada haba tinggi selama hampir lapan jam.
Amirudin turut memberitahu, mesyuarat tersebut juga akan melihat kepada beberapa kes melibatkan mangsa yang masih tidak mendapat bantuan sewa rumah yang disediakan kerajaan Selangor.
“Kebanyakan disebabkan tidak mempunyai dokumen yang mencukupi dan kita akan lengkapkannya dulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE