fbpx

Farah Ain cipta sejarah, Olahragawati pertama dari boling padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH AIN (dua dari kiri) menerima piala iringan Olahragawati Kebangsaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. - ISKANDAR ISHAK

SUBANG JAYA – Ratu boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah mencipta sejarah apabila muncul atlet pertama daripada sukan boling padang yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 sebentar tadi.

Farah Ain turut mengakui kejayaan menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan itu sangat bermakna dalam tahun pertamanya bersama skuad kebangsaan, apatah lagi ketika dia masih baharu dalam arena antarabangsa.

“Bagi saya, tahun 2024 adalah tahun yang sangat mencabar. Itu juga tahun pertama saya dalam skuad nasional dan memang saya masih baharu dalam pasukan,” katanya yang ditemui media selepas ASN di Dorsett Grand Subang.

Farah Ain meraih pengiktirafan itu susulan kejayaannya menamatkan musim lalu sebagai pemain nombor satu dunia, selain melakar kemenangan bersejarah di pentas antarabangsa.

Pada 4 Mac lalu, nama Farah rasmi diiktiraf di kedudukan teratas ranking dunia berdasarkan kemas kini World Bowls Series, selepas mengumpul 723 mata hasil kejayaan meraih emas dalam acara perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.

Kemenangan itu menjadikan atlet berusia 25 tahun itu satu-satunya atlet Malaysia yang memegang gelaran juara dunia dalam acara individu boling padang bagi tahun tersebut.

Farah Ain menerima sebuah piala utama, piala iringan, sijil serta wang tunai RM20,000 atas pengiktirafan tertinggi tersebut.

Sementara itu, kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan turut menjadi milik atlet boling padang para negara, Hasmunirah Maliki susulan kejayaan memenangi emas di Kejohanan Dunia Para 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan.

Pengiktirafan kepada dua bintang boling padang negara itu membuktikan sukan berkenaan kini bukan lagi di pinggiran, sebaliknya layak berdiri setanding sukan utama negara di pentas dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI