MARANELLO – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui jentera Ferrari musim ini memiliki potensi sebenar, namun terdapat sesuatu yang masih ‘misteri’ membataskan mereka untuk tampil menyerlah.
Selepas mengejutkan dunia Formula Satu (F1) dengan menyertai Scuderia Ferrari dari Mercedes musim ini, namun Hamilton, 40, masih bergelut untuk mendapatkan rentak.
Lebih mengecewakan, pemandu Britain tersebut sekadar menduduki tangga ketujuh kejuaraan dunia selepas enam pusingan tanpa sebarang podium Grand Prix (GP).
“Kereta ini ada prestasi sebenar tapi sesuatu yang menahan kami. Sejak GP China, kami seperti kehilangan kuasa itu.
“Jika diikutkan, pecutan kuasa itu ada tapi kami tak boleh gunakannya,” kata Hamilton.
Walaupun menjuarai perlumbaan sprint di Shanghai, prestasi Hamilton dilihat tidak konsisten apabila hanya mampu meraih tempat kelapan GP Miami selepas bermula dari petak ke-12.
Hamilton turut bergelut dalam komunikasi bersama jurutera pasukan sepanjang perlumbaan, sambil bertarung bersama rakan sepasukan, Charles Leclerc yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
“Kami masih belum cukup pantas seperti kami mampu. Banyak perkara boleh diperbaiki, tapi selagi masalah utama ini belum selesai, inilah realitinya,” tambah Hamilton.
Leclerc yang kini di tempat kelima keseluruhan turut kecewa dengan kemampuan jentera SF-25, malah menggelarkan perlumbaan lalu sebagai antara paling teruk musim ini. – AGENSI