PETALING JAYA – Berkongsi rezeki, pelakon dan pelawak Zizan Razak yang menjadi tetamu Forum Dialog Anak Muda di Festival Makar Fest 2.0 menyerahkan bayaran diterimanya kepada Persatuan Kebajikan Fisabilillah Terengganu.
Zizan atau nama sebenarnya Mohamad Razizan Abd. Razak, 41, berkata sumbangan yang diperoleh daripada penyertaannya dalam majlis ilmu di Kuala Terengganu itu diharap dapat membantu golongan memerlukan.
“Saya buat ini kerana Allah, ustaz. Ini bayaran yang saya terima untuk malam ini, saya sedekahkan kepada Persatuan Fisabilillah Terengganu.
“Saya nak minta tolong ustaz untuk bantu orang-orang yang susah dan memerlukan,” katanya dalam video dikongsikan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.
Sebelum itu, Zizan yang menjadi moderator bagi sesi Malam Dialog Anak Muda yang turut menampilkan pendakwah Ustaz Kamaruzzaman bertanya berkenaan hukum berbuat baik kepada Ustaz Azhar.
Menjawab pertanyaan pelakon filem Polis Evo 3 itu, Ustaz Azhar memaklumkan terdapat dua hukum melakukan kebaikan secara terbuka di hadapan orang ramai.
“Pertama, jika berniat supaya orang puji kita maka hukumnya haram sebab itu dinamakan sebagai riak.
“Yang kedua, berniat supaya orang yang tengok bersemangat untuk bersedekah maka hukumnya adalah harus.
“Setiap amalan itu bergantung kepada niat orang yang melakukan sesuatu perkara,” ujarnya.
Tidak menunggu lama, Zizan terus mengumumkan mahu menyerahkan bayaran yang diterimanya pada malam itu kepada persatuan disebutkan.
Tindakan spontan anak jati Terengganu terbabit disambut dengan kesyukuran seluruh penonton apabila secara tidak langsung mengajak insan lain berbuat baik sesama insan.
Festival Makar Fest 2.0 adalah anjuran Red Bean Productions & Agency dan Sunburst KL yang kini sudah memasuki tahun kedua.
Pada edisi kali ini, selain Zizan dan Ustaz Azhar, karnival gaya hidup yang berlangsung tiga hari membabitkan pelbagai aktiviti itu turut dimeriahkan persembahan vokalis Wings, Datuk Awie serta penyanyi, Amir Masdi.
Fiesta berkenaan berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu pada minggu lalu. – KOSMO! ONLINE