PETALING JAYA – Seluruh rakyat menzahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pagi tadi.
Dalam kemalangan yang membabitkan trak FRU dan lori muatan batu itu, sekurang-kurangnya sembilan disahkan maut setakat ini.
Berita pemergian kesemua ‘frontliner’ itu bukan sahaja mengejutkan seluruh negara malah mengundang rasa sebak dan sedih kerana mengenangkan nasib keluarga yang ditinggalkan.
“Sedihnya, sebak teringat isteri dan anak-anak yang menunggu kepulangan bapa mereka, tetapi meninggal dunia ketika bertugas,” komen Shahira.
“Keluarga waktu bertugas, mencari rezeki buat keluarga. Berita yang sangat sedih diterima pagi ini,” komen Sukeri Mamat.
“Sedih. Maut ketika keluar bertugas. Yang pulang nanti hanya sekujur tubuh. Al Fatihah buat semua mangsa yang terlibat,” komen Nadia.
Selain itu, ramai juga pengguna berkata, kesedihan terhadap kemalangan yang menimpa anak gajah dilanggar lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli kelmarin, masih belum berakhir.
Namun kesedihan rakyat Malaysia ditambah pula dengan berita nahas membabitkan anggota FRU ini.
“Semalam satu hari bersedih tentang anak gajah dilanggar lori. Hari ini pula sedih sangat dengar berita tentang anggota FRU bertembung dengan lori,” kata Hisham.
“Tak habis sedih lagi tentang anak gajah, kini bersedih tentang kemalangan anggota FRU pula. Al Fatihah buat semua yang terkorban,” kata Samsul.
Terdahulu, sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. hari ini.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.- KOSMO! ONLINE