PETALING JAYA – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa berasa kecewa apabila Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggelarkan dirinya sebagai pelawak profesional.
Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, tindakan Rafizi yang mempunyai kaitan dengan kemenangan beliau di Setiawangsa itu walaupun dalam nada berseloroh namun kesannya bukan kecil.
Jelasnya, beliau tidak malu dengan gelaran pelawak dan juga pengarah, penerbit, penulis, pendidik serta aktivis sosial kerana ia sebahagian daripada identitinya sebagai anak seni yang menyara keluarga selama ini.
“Tetapi apabila label itu (pelawak professional) digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang lain.
“Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakang saya tidak datang dari ‘kilang politik’,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Afdlin berkata, beliau memasuki pertandingan itu bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu ramai memilih untuk menjauh ketika PKR kalah teruk akibat gelombang Langkah Sheraton.
“Saya tidak tunggu peluang terbuka luas baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai yang tidak lagi percaya kita mampu bangkit.
“Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walau dari gelanggang yang asing bagi orang politik iaitu dunia seni,”katanya.
Pada masa sama, Afdlin berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama termasuk dengan Rafizi sendiri demi membina cabang yang lebih kuat dan membawa parti ke hadapan.
“Tetapi saya juga tidak akan berdiam apabila integriti dan mandat yang saya pikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinikal.
“Saya terbuka untuk berdialog. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi cuba dipinggirkan hanya kerana saya tidak datang dari ‘kilang politik’ yang sama,”tegasnya.-KOSMO ONLINE