KUALA LUMPUR – Hasrat beregu negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi untuk menghadiahkan gelaran berganda buat Malaysia tidak kesampaian apabila tewas kepada regu sensasi Thailand dalam aksi final Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Malaysia yang tampil dengan misi membalas dendam selepas kekalahan di peringkat kumpulan sewaktu Piala Dunia di Bihar, India, gagal menamatkan kempen dengan sempurna apabila terpaksa tunduk 1-2 kepada Thailand.
Pada perlawanan tersebut, Thailand menurunkan ketiga-tiga pemainnya Boonkom Tipwong, Sirisak Anuloon dan Tanaphon Sapyen dalam perlawanan penuh mendebarkan.
Pada set pertama perlawanan, Noraizat-Aidil bermula garang dengan permainan kemas serta libasan tajam yang memerangkap pertahanan Thailand, sekali gus menghadiahkan kemenangan 15-7 kepada Malaysia.
Bagaimanapun, Thailand mencipta kebangkitan apabila melakukan pertukaran dengan memasuki Sapyen mengeluarkan Tipwong sekali gus mereka memanfaatkan kesilapan mudah pasukan negara untuk menyamakan kedudukan selepas menang 15-10.
Tersentak dengan kebangkitan lawan, Malaysia cuba bangkit pada set penentuan, namun beberapa percubaan dan servis kurang menjadi memberikan ruang kepada Thailand untuk terus mendominasi permainan.
Thailand akhirnya menoktahkan kemenangan menerusi keputusan 15-12 di set ketiga, sekali gus memadamkan impian Malaysia untuk muncul juara di laman sendiri.
Kekalahan itu turut memadam harapan kontinjen negara untuk menambah gelaran kedua selepas kejayaan dalam acara kuadran sebelum ini.
Biarpun tewas, pujian wajar diberikan kepada Noraizat dan Aidil yang menampilkan semangat juang tinggi sehingga ke hujung permainan dalam usaha menyaingi kekuatan beregu utama Thailand. -KOSMO! ONLINE