PENERJUN lelaki negara, Muhammad Syafiq Puteh yakin barisan pelapis seperti Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Je kini bersedia mengambil alih tanggungjawab dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki selepas era Ooi Tze Liang.
Selepas mengungguli Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan 2025 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam, penerjun berusia 30 tahun itu berkata, kedua-dua atlet muda berkenaan mempunyai masa depan cerah untuk menjadi sandaran utama pada masa depan.
“Qayyum dan Rui Je adalah pelapis yang sangat berbakat dan tak kira apa pun, saya percaya mereka akan naik podium satu hari nanti.
“Saya harap mereka dapat menggantikan, macam saya ganti Tze Liang sebelum ini dan terus memantapkan lagi acara 3m papan anjal lelaki,” kata Syafiq selepas ujian pemilihan berkenaan.
Dalam aksi berlangsung Sabtu lalu, Syafiq mengesahkan status sebagai penerjun utama apabila meraih 391.25 mata, menewaskan Nurqayyum yang mengumpul 390.70 mata di tempat kedua, manakala Rui Je menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan 360.40 mata.
Kejayaan itu turut menandakan kali ketiga Syafiq melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) iaitu 370 mata yang ditetapkan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS) sebagai syarat wajib ke kejohanan antarabangsa.
“Saya bersyukur dapat capai MQS sekali lagi. Skor 391.25 ini penting untuk beri keyakinan sebelum Kejuaraan Dunia nanti,” jelasnya.
Dengan kempen Kejuaraan Dunia bakal berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos depan, pencapaian itu dilihat petanda positif buat Syafiq sebagai tonggak utama negara sejak persaraan rasmi Tze Liang yang kini menyambung karier sebagai jurulatih pelapis kebangsaan.