KLANG – Taktik menyeludup masuk 10 tan beras dengan mengikrarkan sebagai campuran rempah gagal selepas dikesan pihak berkuasa di kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Rampasan bernilai RM238,000 termasuk cukai itu dibuat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas menahan sebuah kontena pada 25 Mac lalu.
Pemangku Pengarah Kastam Selangor, Tun Norlela Azumi Ramli berkata, hasil pemeriksaan dijalankan telah menemui 10,000 kilogram (kg) beras yang dipercayai telah diimport tanpa permit import.
Katanya, ia jelas melanggar kesalahan memandangkan permit import dikeluarkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) seperti digariskan di bawah Butiran 25, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Hasil semakan mendapati komoditi beras itu telah diikrarkan antaranya sebagai campuran daun dan rempah bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Ia seterusnya telah mengelak keperluan permit import BERNAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas 7,320 liter ethyl alcohol bernilai RM117,229 dalam pemeriksaan berasingan di kawasan sama pada 20 Mac lalu.
Tambahnya, barangan tersebut yang disyaki dari benua Eropah didapati tidak mempunyai permit import.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE