BALING – “Malam tadi saya mimpi Aqil minta tolong sambil melambai-lambaikan tangannya dan menjerit sungai dalam, tetapi saya tidak dapat tolong.”
Demikian kata Putera Muhamad Faris Fadli, 12, rakan kepada Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama lapan rakannya di sungai Felda Teloi Kanan di Kuala Ketil, di sini semalam.
Menurut Putera Muhamad Faris, kejadian berlaku ketika dia dan lapan rakan termasuk Aqil dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan.
“Kami singgah mandi di sungai itu kira-kira pukul 1.45 tengah hari sebelum akan ke sekolah untuk latihan bola sepak pada pukul 4 petang.
“Kami tidak sangka Aqil lemas, saya hanya nampak pergelangan tangan Aqil terkapai-kapai sebelum tenggelam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tidak dapat melelapkan mata kerana masih teringatkan jeritan Aqil yang meminta tolong sebelum tenggelam di dalam sungai.
Sementara itu rakannya, Muhammad Akid Muhammad Fahmi, 12, berkata, dia memanggil nama Aqil berulang kali dan cuba menarik tangannya, tetapi gagal sebelum rakannya itu dihanyutkan arus deras.
“Kami terus naik ke tebing sungai dan pulang ke rumah masing-masing untuk memaklumkan kejadian itu kepada keluarga dan berharap supaya Aqil ditemui selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE