JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pembantu rumah menampar majikannya kerana tidak berpuas hati dengan arahan yang diberikan, lapor laman berita NTV News semalam.
Kejadian berlaku di Cilacap, wilayah Jawa Tengah.
Berdasarkan video dimuat naik di laman Instagram, pembantu rumah itu dilihat menampar muka majikannya yang sedang menggendong anak di dapur rumah.
“Dunia sudah terbalik, pembantu rumah memukul majikan,” kata hantaran video tersebut.
Menurut laporan, pembantu rumah bernama Murni Cachnia itu tidak berpuas hati dengan cara majikannya mengarahkan dia melakukan kerja.
Selepas video itu tular, Murni tampil membuat penjelasan serta memohon maaf kepada mangsa, lapor laman berita iNews.
Dia mengaku terlalu mengikut emosi ketika berhadapan situasi tersebut.
“Pelaku sudah mengakui kesilapannya dan meluahkan rasa kesal. Setelah mengadakan perbincangan, pelaku meminta maaf dan memohon agar insiden itu diselesaikan secara baik serta tidak dibawa ke pihak polis,” kata hantaran di laman Facebook. – AGENSI