TAIPING – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori tangki muatan minyak sawit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taiping awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.03 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang telah melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki minyak sawit.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 27 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mangsa tidak tersepit dalam kemalangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, ketua operasi yang tiba di lokasi telah melakukan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE