JAKARTA – Sebuah sekolah menengah di Pulau Bali mengundang kecaman orang ramai kerana menjemput seorang deejay seksi untuk mengadakan persembahan pada majlis tamat persekolahan, lapor portal berita Banjarmasin Post.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @otakkanann menunjukkan deejay wanita itu menari di atas pentas sambil memakai seragam sekolah ketat dan singkat.
Pengetua SMK Negeri 1 Tejakula, Nyoman Sudimahayasa kemudian tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa majlis itu bukan program rasmi sekolah.
“Majlis ini diadakan untuk meraikan pelajar tamat bersekolah. Mereka telah meminta izin kepada pihak sekolah dan mendapat persetujuan daripada keluarga.
“Pembiayaan majlis itu ditanggung sepenuhnya oleh pelajar. Pihak sekolah juga dimaklumkan mengenai deejay tersebut,” kata Nyoman.
Beliau bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana deejay yang diundang berpakaian seksi.
Rakaman itu mencatatkan lebih 36,300 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kenapa mesti pakai macam itu?” kata seorang netizen. – AGENSI