JAKARTA – Seorang warga emas berusia 76 tahun menerima banyak bantuan sumbangan termasuk tajaan menunaikan umrah selepas dibelasah orang ramai yang menyangka dia melakukan penculikan, lapor laman berita Detik kelmarin.
Wanita dikenali sebagai nenek Asyah dari Cianjur, wilayah Jawa Barat itu menjadi perhatian pengguna media sosial yang simpati dengan keadaannya.
Pekerja sosial, Fanfan Nugraha berkata, nenek Asyah mengalami kecederaan di seluruh anggota badannya akibat dipukul orang ramai.
“Dia banyak mendapat bantuan daripada banyak pihak. Ada yang sekadar datang menziarahi, malah ada yang menghulurkan sumbangan,” katanya.
Tambah Fanfan, nenek Asyah akan berangkat menunaikan ibadah umrah dalam waktu terdekat.
“Dia menangis terharu kerana menerima tajaan umrah. Terima kasih kepada para dermawan yang datang memberikan pelbagai jenis bantuan serta wang tunai.
“Semoga kejadian yang menimpa nenek Asyah menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mudah menjatuhkan hukuman sendiri tanpa mengetahui kebenaran sesuatu perkara,” katanya.
Pada minggu lalu, nenek Asyah dibelasah orang ramai selepas dituduh sebagai penculik.
Dua individu telah ditahan berhubung insiden itu. – AGENSI