LE MANS – Johann Zarco menghadiahkan kemenangan bersejarah selepas menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis sekali gus menjadi pelumba tuan rumah pertama meraih kemenangan di Litar Le Mans sejak 1954.
Penantian Perancis untuk menamatkan kemarau lebih tujuh dekad berhasil apabila Zarco meraikan kemenangan tersebut di hadapan 120,000 penyokong di Le Mans sejak Pierre Monneret melakukan pada 1954.
Pelumba LCR Honda itu bangkit cemerlang dari petak ke-17, biarpun terbabas ke luar litar di selekoh pertama selepas insiden melibatkan Joan Mir apabila perlumbaan itu bermula dalam keadaan hujan.
Namun, 13 pelumba kembali menukar semula kepada tayar kering tetapi Zarco kekal dengan tayar hujan menyebabkan keputusannya terbukti tepat apabila hujan kembali lebat.
“Saya nampak pelumba lain guna tayar kering, tapi saya yakin ia akan hujan. Jadi saya kekal dengan keputusan awal.
“Saya sangat bangga. Sebagai rakyat Perancis, menjuarai GP Perancis adalah sesuatu yang luar biasa.
“Apapun, saya tidak kejar kemenangan ini, saya tunggu ia datang dan hari ini ia benar-benar menjadi kenyataan,” katanya yang dilihat menangis sewaktu meraikan kemenangan di hadapan ribuan penonton di Le Mans.
Lebih istimewa, kemenangan itu turut disaksikan ibu bapanya buat pertama kali sepanjang 17 tahun karier profesionalnya.
“Sepanjang 17 tahun saya berlumba, ibu saya tidak pernah hadir ke mana-mana perlumbaan. Saya ajak mereka ke Le Mans kerana suasananya cukup luar biasa.
“Mereka sudah menyaksikan banyak perkara hujung minggu ini untuk diceritakan kepada seluruh keluarga dan rakan-rakan sepanjang tahun.
“Hari ini kami beri mereka kemanisan yang sempurna dan ini adalah kejayaan terbaik buat mereka di Le Mans,” tambah Zarco.
Kemenangan tersebut turut menamatkan rekod 22 kemenangan berturut-turut Ducati dalam kelas premier, serta yang pertama buat pLCR sejak Alex Rins menjuarai GP Amerika Syarikat pada 2023. – AGENSI