LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya harus menyalahkan diri sendiri selepas diikat tanpa jaringan oleh Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. Mary kelmarin.
Walaupun pemain pertahanan The Citizens, Ruben Dias kurang senang dengan taktikal lawan, namun Guardiola tidak mahu mencari alasan kerana semua orang harus bertanggungjawab terhadap keputusan mengecewakan tersebut.
“Saya menghormati keputusan pasukan lawan yang mahu bermain secara bertahan dan kami sebenarnya perlu memecah barisan pertahanan mereka seperti yang pernah kali lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu tidak berlaku pada perlawanan kami ini.
“Southampton boleh melakukan apa saja yang mereka mahukan. Segalanya bergantung kepada kami dimana kami memiliki banyak peluang walaupun berdepan kesukaran,” katanya.
Ini adalah kali pertama City gagal menewaskan pasukan tercorot sejak November 2015 yang mana ketika itu mereka mencatat keputusan sama menentang Aston Villa.
Lebih malang, City berjaya melakukan 26 percubaan tetapi masih gagal menghasilkan sebarang jaringan sejak kali terakhir situasi seperti itu berlaku ketika mereka tewas 0-1 kepada Southampton lima tahun lalu.
“Kami tidak jangka mereka akan bertahan seperti itu dan mereka melaksanakan tugasan bertahan dengan baik. Saya juga gembira dengan Haaland yang mampu bermain lebih lama berbanding apa yang kami jangka,” katanya.
Keputusan itu menyukarkan peluang City untuk menamatkan saingan EPL musim ini sebagai naib juara apabila kini berada di tangga ketiga dengan dua mata di belakang Arsenal di tempat kedua. – AGENSI