fbpx

Malaysia kini ‘raja’ kuadran Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN negara, Shahalril Aiman melakukan rejaman ketika menentang pasukan Jepun pada perlawanan akhir kuadran dalam di Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. -Foto: SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Pasukan sepak takraw kuadran negara menepati ramalan apabila muncul juara Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas mudah menewaskan Jepun 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Kemenangan straight set 15-8, 15-11 itu membolehkan skuad negara yang dibimbing Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif menyempurnakan sebahagian daripada misi memburu empat gelaran pada kejohanan berprestij Asia tersebut.

Pada perlawanan akhir itu, skuad negara yang diterajui Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali tampil dengan aksi bertenaga tanpa kesilapan mudah, sekali gus menggugat persembahan Jepun.

Tersentak dengan keputusan set pertama, Jepun yang dibarisi Toshitaka Naito, Yuki Sato, Ryota Haruhara dan Wataru Narawa cuba bangkit pada set kedua, namun libasan bertali arus mereka gagal menembusi benteng kental Malaysia.

SKUAD kuadran negara kini menjuarai Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. Foto: SYAKIR RADIN

Pemain negara tidak memberi ruang buat Jepun kembali mengatur rentak, sebaliknya terus menekan hingga tamat perlawanan untuk menjulang kejuaraan penuh bergaya di laman sendiri.

Lebih manis, kejayaan ini juga menjadi penawar duka selepas Malaysia sebelum terkandas seawal peringkat kumpulan ketika aksi Piala Dunia di Bihar, India, Mac lalu.

Malaysia kini selangkah lagi untuk menghadiahkan gelaran kedua kepada kontinjen negara apabila dijadual bertemu juara dunia 2025, Thailand, dalam aksi final acara beregu di venue sama, malam ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI