KUCHING – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki cuba membakar sebuah rumah di kawasan Jalan Patingan di sini menggunakan bom molotov.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, ia susulan laporan berhubung kejadian yang diterima pada Sabtu lalu.
“Orang ramai diseru tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau di mana-mana balai polis berhampiran, atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Joshua Masing Lugoh di talian 017-9542048,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Menjelas lanjut, Alexson berkata, berdasarkan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 41 tahun, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu lalu, namun cubaan suspek itu gagal apabila botol berisi minyak dengan dinyalakan api yang dibalingnya ke rumah tersebut hanya mengena dinding dan jatuh ke lantai luar rumah.
Video di tempat kejadian yang menunjukkan bom molotov itu sedang terbakar di lantai luar rumah berkenaan turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE