fbpx

Kumpul sejarawan, ahli profesional cungkil fikrah Tun Abdullah – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama tetamu dalam Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi tujuan mencungkil fikrah mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang penglibatan dan sumbangannya kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan seminar tersebut akan melibatkan kumpulan intelektual, sejarawan dan ahli profesional khususnya dalam kalangan pimpinan serta ahli-ahli UMNO.

“Ini sebagai menghargai jasa-jasa Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, selain daripada mengabadikan nama Maktab Rendah Sains Mara (MARA) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya telah mengarahkan pengerusi MRSM untuk tempoh sebulan ini mengadakan seminar tersebut. Ia untuk mencungkil fikrah atau pemikiran Pak Lah semasa beliau menjadi pegawai PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Timbalan Menteri hingga Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Dato’ Abdul Fatah sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, beliau turut menyarankan penubuhan atau mengaktifkan semula sebuah pusat penyelidikan politik dan sejarah iaitu Institut Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun depan bagi mengenang jasa Allyarham Tun Abdullah.

“Unit (di bawah pusat) penyelidikan itu sudah ada dan kita akan perbesarkan, insya-Allah. Supaya ia boleh dijadikan bahan rujukan (politik) oleh para penyelidik dan pengkaji sejarah.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan merayakan sambutan ulang tahun UMNO yang ke-80 dan kita akan isytiharkan pelancaran ini (institut tersebut),”
ujarnya.

Untuk rekod, Allahyarham yang juga bekas Menteri Pendidikan dan Menteri Luar Negeri dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI