MELAKA – Ibu kepada bayi perempuan berusia 22 bulan yang diserang sawan selepas didakwa menunggu hampir 11 jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka menerima permohonan maaf dibuat oleh pihak pengurusan.
Siti Aishah Rahim, 27, berkata, dia dan suaminya menerima kedatangan pihak pengurusan hospital di wad anaknya hari ini.
“Pagi tadi, pihak hospital datang jumpa kami di wad, mereka minta maaf cakap akan siasat dan baiki apa yang silap.
“Kami terima permohonan maaf itu dengan hati terbuka tetapi apa yang terjadi amat memilukan hati, selalu tengok kes orang lain di media sosial, tak sangka kali ini kena pada anak sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini, hari ini.
Katanya, anak sulungnya itu, Siti Farha Adelia Mohd. Firdaus masih dalam pemantauan rapi susulan suhu badan yang tidak menentu dan turut dijangkiti virus.
“Sebagai ibu, saya memang trauma kerana saya tak pernah sakit seteruk ini sejak lahir, jadi bila jadi macam ni saya dah tak sanggup tengok dia merenggek.
“Saya harap pihak hospital betul-betul ambil iktibar bukan sekadar cakap, jangan tunggu viral baru nak ubah. Tolong perbaiki mutu perkhidmatan,” tegasnya.-KOSMO! ONLINE