DI Malaysia, sawit merupakan tanaman komoditi utama yang penting. Kebiasaannya, sawit akan diproses dan digunakan secara meluas dalam industri makanan.
Namun begitu, kegunaan sawit bukan hanya untuk industri makanan semata-mata, sebaliknya juga boleh digunakan dalam industri lain.
Itulah yang dilakukan oleh Prof. Dr. Khairiah Badri yang juga merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana dia menggunakan sawit untuk menghasilkan inovasi biopoliol.
Inovasi yang mula dihasilkan pada tahun 1999 tersebut telah diperkembang sehingga memberikan satu kejayaan buatnya dan membolehkannya meraih lebih 90 anugerah.
Anugerah paling besar diterimanya ialah Anugerah Inovator Dunia daripada Persatuan Inovasi Korea pada tahun 2012, Anugerah Saintis Cemerlang pada 2004 dan lain-lain lagi.
Malah, melalui inovasi tersebut juga telah membolehkannya dinobatkan sebagai Naib Juara keseluruhan program Innovathon Musim Kedua tahun lalu. Innovathon merupakan program televisyen yang melibatkan kolaborasi Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Secara umumnya, inovasi biopoliol yang dihasilkan Dr. Khairiah itu membolehkan minyak sawit menjadi bahan-bahan yang keras yang digunakan dalam pelbagai industri seperti binaan, pembuatan perabot, automotif dan lain-lain.
Bayangkan, bagaimana minyak sawit yang sering kita lihat sebagai suatu yang cair atau ‘lembik’ boleh menjadi bahan-bahan seperti kayu meja solek yang kuat dan tahan lasak?
Bagaimana daripada minyak sawit ini boleh menghasilkan benda yang boleh dipaku dan diskru? Begitulah gambaran hebatnya inovasi biopoliol sawit Dr. Khairiah yang turut pernah dianggap sebagai projek emas oleh MOSTI.
Biopoliol adalah pemula untuk satu jenis plastik yang dipanggil poliuretana (PU).
Biopoliol sebelum ini lazim didapati daripada petroleum, tetapi inovasi oleh Dr. Khairiah atau dikenali juga sebagai Dr. Kay ini berjaya mendapatkannya daripada sawit.
Jelas Dr. Khairiah, biopoliol itu seperti tepung yang boleh dibuat pelbagai benda, daripada sesuatu yang seperti kulit sehinggalah sekeras batu.
“Poliuretana yang terhasil daripada biopoliol ini boleh diaplikasikan di dalam industri yang pelbagai. Ia boleh menjadi asas untuk menghasilkan pelbagai bahan yang digunakan dalam industri binaan, perabot, semikonduktor, minyak dan gas serta lain-lain lagi,” katanya.
Tambahnya, biopoliol ini akan dicampur dengan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk menghasilkan produk yang industri kehendaki. Ia boleh digunakan sebagai bahan binaan penebat dalam peti sejuk, trak ais, panel penebat dinding dan bumbung.
Selain itu boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan perabot, hiasan dalaman, bumper kereta, pakaian, cat dan lain-lain.
Dr. Khairiah berkata, sebelum ini industri bergantung kepada biopoliol yang dihasilkan daripada minyak petroleum.
Namun sebenarnya, minyak-minyak tumbuhan seperti sawit boleh diolah menjadi biopoliol dan menjadi alternatif kepada biopoliol berasaskan petroleum.
“Malah biopoliol yang dihasilkan daripada minyak sawit menawarkan penghasilan bahan yang lebih tahan kerintangan api di samping lebih mesra alam.
“Selain itu, kos untuk menghasilkan biopoliol daripada sawit juga lebih murah berbanding menggunakan petroleum.
“Biopoliol daripada minyak sawit ini dihasilkan menerusi proses satu langkah sahaja, manakala biopoliol daripada petroleum menggunakan proses berbilang peringkat dan sudah semestinya kos pengeluarannya lebih tinggi,” jelasnya.
Untuk menghasilkan biopoliol daripada minyak sawit, Dr. Khairiah berdepan dengan cabarannya yang tersendiri terutamanya pada peringkat awal penyelidikan.
Dia berhadapan dengan cabaran untuk menstabilkan struktur kimia biopoliol supaya sesuai bagi penghasilan poliuretana.
Pelbagai ujian serta penambahbaikan dilakukan bagi membolehkan biopoliol yang dihasilkan daripada sawit itu mencapai standard yang dikehendakinya.
Menceritakan tentang idea untuk menghasilkan biopoliol daripada sawit, Dr. Khairiah berkata, dia terinspirasi untuk menghasilkan inovasi tersebut disebabkan cabaran bapanya sejurus kontroversi kejatuhan harga sawit di pasaran pada ketika itu.
Kejatuhan harga sawit tersebut berlaku disebabkan Kesatuan Eropah mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam mana-mana produk makanan.
Bapanya merupakan peneroka Felcra Paloh di Yong Peng, Johor dan mengusahakan tanaman sawit.
Malah, dia dibesarkan dengan pendapatan hasil sawit yang diusahakan oleh bapanya.
“Pada ketika itu ayah saya mengatakan harga buah sawit jatuh teruk sehingga tidak dipungut dan dibiarkan begitu sahaja.
“Ayah sangat risau pada ketika itu kerana sawit adalah sumber utama pendapatannya.
“Saya belajar dalam bidang kimia dan ayah saya bertanya apakah yang saya boleh bantu dengan kepakaran saya?” ujarnya.
Rasa tercabar dengan kata-kata bapanya itu, Dr. Khairiah mengambil keputusan untuk memohon biasiswa daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan menyambung pengajian di UKM pada tahun 1999.
Sebelum menyambung pengajian dia telah bekerja dengan beberapa syarikat.
Malah, dia juga sempat bekerja selama dua tahun di Amerika Syarikat (AS) setelah berjaya mendapatkan dua ijazah di dalam bidang kimia dan juga kejuruteraan kimia serta penapisan petroleum di Colorado School of Mines.
“Pada asalnya saya ingin menyambung pengajian untuk peringkat sarjana, tetapi pada semester kedua projek biopoliol yang saya hasilkan ini pihak MOSTI mengatakan ini adalah satu projek emas.
“Mereka membuat surat kepada UKM dan kemudian pengajian saya ditukarkan daripada peringkat sarjana ke doktor falsafah (PhD).
“Ketika semester kelima saya menghantar tesis dan viva pula pada semester enam, saya juga telah memecahkan rekod universiti di mana menyelesaikan PhD dalam enam semester,” ujarnya.Itulah bagaimana terhasilnya inovasi biopoliol oleh Dr. Khairiah.
Untuk mencapai hal tersebut bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pada ketika itu dia juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dia terpaksa korbankan masa dengan anak-anak untuk menyelesaikan pengajiannya itu.
Rezeki juga memihak kepadanya apabila dia ditawarkan untuk bekerja di UKM setelah tamat pengajian.
Baginya, inspirasinya untuk menghasilkan inovasi biopoliol ini adalah kerana cabaran daripada bapanya.
Malah, pengajiannya di peringkat ijazah sebelum ini banyak membantunya untuk menghasilkan inovasi tersebut.
“Saya melihat kimia minyak petroleum dan kimia minyak sawit sesuatu yang berbeza tetapi masih boleh dilakukan modifikasi. Hasil penyelidikan saya menunjukkan bahawa minyak sawit juga boleh menghasilkan biopoliol sepertimana minyak petroleum,” terangnya.
Berkongsi mengenai perjalanan inovasinya, Dr. Khairiah berkata, inovasi biopoliol sawit itu telah melalui peringkat pengkomersialan pada tahun 2014, memasuki pasaran pada tahun 2017 dan penjualan pada tahun 2022.
Dalam pada itu, penyertaan Dr. Khairiah dalam Innovathon Musim Kedua juga dilakukannya pada saat akhir demi mencari dana bagi membantu anak-anak B40 yang membangunkan syarikat start-up berkaitan inovasi tersebut.
“Di dalam program ini saya menjadi juara untuk minggu kelima dan menjadi naib juara keseluruhan,” terangnya.
Hasil inovasi yang dilakukan oleh Dr. Khairiah ini juga dilihat memberi impak kepada dunia apatah lagi pihaknya telah melakukan komunikasi mengenai inovasi itu kepada satu pihak di Indonesia.
“Tak mustahil Malaysia akan dikenali sebagai pemimpin kepada industri sawit bagi sektor bukan makanan.
“Sekarang juga, kita lihat Kesatuan Eropah sudah mula memberi perhatian kepada Malaysia dan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang memartabatkan industri sawit di persada antarabangsa.
“Padahal, sebelum ini industri ini dikaitkan dengan kontroversi, alhamdulillah,” ujarnya.














