KEJAYAAN layak dua kali ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) menjadi bukti jelas kualiti Cape Verde yang bakal dihadapi Harimau Malaya dalam aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.
Sejak tidak lagi bernaung di bawah Portugal, Cape Verde sudah pun bermain empat edisi Afcon dan pernah layak ke suku akhir pada edisi 2013 dan 2023.
Walaupun ranking dunia lebih baik iaitu No. 72 berbanding Malaysia (131 dunia), Cape Verde dijangka tidak mengambil mudah cabaran Harimau Malaya yang kini dibawah kendalian Peter Cklamovski.
Dijangkakan segala kekuatan dan kelemahan Harimau sudah berada dalam ‘poket’ pengendali Cape Verde, Bubista memandangkan negara Afrika itu memiliki ‘perisik’ iaitu import Selangor FC, Alvin Fortes.
Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata, apa juga kelebihan yang ada pada Cape Verde bukan hal utama kerana lebih penting adalah bagaimana persiapan Harimau Malaya.
“Memang dia boleh bagi maklumat tentang pasukan kita tetapi untuk saya, ia bukan soal siapa lawan tetapi keutamaan adalah bagaimana mahu bermain kerana ini juga persiapan kita untuk hadapi aksi lebih penting.
“Ini bukan tugasan pertama Cklamovski, malah beliau pasti sudah mengenali pemain kita dan sejauh mana kualiti yang ada. Walaupun berlaku perubahan barisan kejurulatihan, sekarang bukan lagi masa eksperimen.
“Mungkin Cklamovski sudah ada senarai berdasarkan apa yang dilihat hujung-hujung musim Liga Malaysia (Liga M). Saya percaya orang juga mahu tengok apa pendekatan yang dilakukan olehnya tetapi saya percaya kita boleh main (dengan baik) menentang Cape Verde,” katanya.
Sebelum ini, Cklamovski pernah menyatakan sekarang adalah fasa penting buat Harimau Malaya untuk mempersiapkan diri umenentang Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Cklamovski juga sedar pemain yang akan dipanggil perlu bersiap sedia dengan lebih baik memandangkan Cape Verde merupakan salah satu pasukan terbaik Afrika dan memiliki pemain yang bermain pada tahap tertinggi di Eropah.
Cape Verde juga dilihat mempunyai wakil di Indonesia iaitu Yuran Fernandes yang baru saja dikenakan penggantungan setahun sekali gus mampu memberi gambaran kepada Bubista mengenai kualiti bola sepak di Asia Tenggara.