GERIK – Tidak mustahil ibu gajah akan kembali ke kawasan kemalangan anaknya kerana haiwan itu antara spesies yang mempunyai ingatan kuat, lebih-lebih lagi jika melibatkan kehilangan anak di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam.
Kata Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, sekiranya keadaan itu berlaku, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan luar jangka seperti memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar dan video.
“Saya risau juga, ada yang simpati sangat dan bila nampak gajah, berhenti nak bergambar pula kononnya dengan ibu gajah yang malang. Ini sangat berbahaya,”katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 pagi semalam, seekor anak gajah mati dilanggar lori muatan ayam selepas kenderaan itu gagal mengelak apabila haiwan tersebut meluru keluar dari hutan untuk melintas jalan.
Seekor gajah betina yang dipercayai ibu kepada anak gajah itu mengundang sebak ramai apabila dilihat ‘merapati’ kematian anaknya dengan tidak berganjak dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE