IPOH – “Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu menang lebih 50 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang sekiranya Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028.”
Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R. Ramanan yang berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan prestasi cemerlang dilakar parti tersebut sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila mereka memenangi hampir 50 kerusi Parlimen.
“Sewaktu itu Nurul Izzah merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR, jadi kebolehannya telah terbukti. Jadi jika dia dipilih sebagai Timbalan Presiden (PKR) serta dengan (pengalaman) sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, saya ingat 50 kerusi Parlimen pun boleh (menang).
“Bagaimanapun, kalau kita biarkan trend ini (pergolakan dalam parti) bersambungan mungkin daripada 31 kerusi Parlimen, kita akan dapat 19 kerusi (sahaja),” katanya kepada pemberita di sebuah hotel, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang merupakan calon Naib Presiden PKR mengadakan pertemuan dengan 22 daripada 24 Ketua Cabang PKR Perak di hotel berkenaan di sini.
Sehubungan itu, Ramanan berkata, dia menyokong 101 peratus pencalonan Nurul Izzah yang ketika ini menjawat jawatan Naib Presiden parti sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.
Justeru, katanya, pelantikan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden parti adalah diperlukan untuk menguatkan lagi PKR kerana formula digunakannya sewaktu PRU14 terbukti berkesan.
“Saya tiada apa-apa pendirian yang lain dan tiada (berada dalam) dua atau tiga kolam. Saya satu kolam sahaja (iaitu menyokong Nurul Izzah) kerana prestasi beliau,” katanya. – KOSMO! ONLINE