PETALING JAYA – Penampilan penyanyi Aisyah Aziz memakai purdah pada majlis resepsi di Kuala Lumpur baru-baru ini mencuri perhatian ramai.
Anggun dalam busana berwarna kelabu, Aisyah dan suaminya, Dr. Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail diraikan dalam majlis menyambut menantu bertemakan islamik.
Imej purdah tersebut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai yang membuat andaian Aisyah akan mengikut jejak langkah birasnya, Neelofa.
“Kalau betul berpurdah, semoga terus istiqamah.
“Cantiknya Aisyah, suka sangat dengan penghijrahan dia.
“Ikut jejak langkah Neelofa ke berpurdah? Perkara baik, kami sokong,” komeh netizen.
Berkongsi suasana perkahwinan, Ahmad Fedtri Yahya yang juga pengacara majlis tersebut berkata acara berkenaan diserikan dengan alunan ayat suci al-Quran.
“Usai mengacarakan resepsi indah penuh nuansa Islami. Resepsi Aisyah Aziz dan Dr. Amir.
“Selawat Qasidah dan bacaan ayat suci al-Quran menghiasi ruang dewan yang makmur,” katanya.
Terdahulu, Aisyah yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz itu sah bergelar isteri kepada Dr. Amir dalam satu majlis tertutup di sebuah masjid di Singapura pada 11 April lalu. – KOSMO! ONLINE