fbpx

Barcelona selangkah jadi juara La Liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARCELONA meraikan kejayaan menewaskan Real 4-3 biarpun ketinggalan dua gol terlebih dahulu semalam. - AFP

BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengakui jantungnya hampir ‘luruh’ menyaksikan anak buahnya bangkit secara luar biasa untuk menewaskan Real Madrid 4-3 dalam pertembungan El Clasico penuh drama semalam.

Aksi epik di Stadium Lluis Companys menyaksikan Barcelona ketinggalan 0-2 selepas dua gol awal Kylian Mbappe, sebelum empat jaringan balas menerusi Eric Garcia, Lamine Yamal dan dua daripada Raphinha meletakkan mereka kembali di depan sebelum rehat.

Mbappe melengkapkan hatrik di separuh masa kedua, namun Barcelona tetap bertahan hingga wisel penamat, malah Real hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap, Victor Munoz, namun gagal menyempurnakan peluang keemasan pada minit-minit akhir itu.

Biarpun kemenangan itu meletakkan Barcelona tujuh mata di depan dengan hanya tiga perlawanan berbaki, Flick enggan terlalu selesa.

“Terus terang kami belum rasa macam juara. Hati saya pun kena periksa semula lepas aksi macam ini. Memang mudah cakap ‘kalau mereka jaringkan tiga, kita balas empat’ tetapi hakikatnya, kami masih perlu banyak perbaiki aspek pertahanan,” katanya.

Flick turut mengakui barisan pertahanannya sering kali longgar termasuk dua aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Inter Milan yang turut menyaksikan mereka bolos tiga gol pada setiap perlawanan.

“Tekanan tinggi kami berkesan, tapi bila buat silap, ia jadi rumit. Kami masih perlukan tiga mata lagi. Dalam bola sepak, semuanya boleh jadi. Tak ada kemenangan percuma,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI