BALING – “Aqil… kenapa tinggalkan ibu, ibu sayang Aqil.” Demikian rintihan Nur Amalina Ibrahim, 37, sebaik mayat anaknya, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemukan di Sungai Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, di sini kira-kira pukul 1.31 tengah hari tadi.
Mayat Muhammad Aqil Fitri ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 700 meter dari lokasi dia dipercayai lemas pada petang semalam.
Menurut Nur Amalina, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat anak bongsu daripada dua beradik itu sudah tidak bernyawa.
“Meskipun saya sudah reda dengan kejadian ini, saya tetap tidak dapat tahan kesedihan apabila tengok anak dalam keadaan kaku,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia bagaimanapun bersyukur kerana jasad anaknya berjaya ditemukan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhammad Anuar Ibrahim, 32, berkata, mayat anak saudaranya itu timbul semasa laungan azan zuhur dari masjid berdekatan.
“Alhamdulillah, tiba-tiba sahaja jasad Aqil timbul ketika azan zuhur. Orang kampung yang nampak jasad Aqil terus memaklumkan kepada anggota bomba di lokasi kejadian,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi sungai bersama beberapa rakannya di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil. – KOSMO! ONLINE