KUALA NERUS – Seorang ibu tunggal yang kematian adik lelaki tiga minggu ditimpa kesedihan berganda setelah rumah pusaka didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Banggol Nyiur, Gemuruh, Tepoh di sini hari ini.
Tambah menyedihkan Norfadila Abdullah, 40, wang simpanan RM5,000 yang baru dikeluarkan untuk baki urusan pengebumian arwah adiknya, Mohd. Rustam, 29, turut musnah dalam kebakaran pada pukul 12.30 tengah hari itu.
Norfadila yang merupakan pembantu kedai makan berkata, adiknya, Mohd. Rustam yang tinggal bersamanya telah meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit pada 19 April lalu.
“Belum sempat hilang kesedihan akibat kehilangan arwah adik, hari ini rumah kami pula hangus terbakar.
“Mujur anak saya, Ahmad Ziyaad Danish, 10, dan abang saya, Mohd. Zamri, 43, yang turut tinggal sekali tiada di rumah sewaktu kebakaran berlaku,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Nyiur, Gemuruh, Tepoh di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, empat jentera bersama 19 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat tentang kebakaran tersebut.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian kebakaran rumah tersebut masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE