fbpx

5 tahun, Glenn Fredly masih ‘hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALUNAN auranya membuai rasanya jutaan jiwa. Lagu-lagu dendangannya terus hidup meskipun jasadnya sudah bersemadi buat selama-lamanya.

Atas rasa menebal sebegitu, tidak hairanlah sambutan hangat peminat terhadap konsert Glenn Fredly 25 Years of Music: Holographic Performance di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu begitu luar biasa.

Ribuan peminat berkumpul meraikan rindu meski luka kehilangan belum pulih. Masing-masing mengubati jiwa sendiri dengan muzik dan cinta hasil karya Glenn Fredly yang kekal jadi ingatan.

Tidak mahu menunggu terlalu lama, Premier Live Productions mempersembahkan kini membawakan Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal diadakan pada 18 Julai hadapan di Zepp Kuala Lumpur.

Bagai sebuah ritual menghidupkan kenangan, merayakan warisan dan menyentuh jiwa, konsert berkenaan dijangka mengubat kerinduan ramai.

Rangkaian lagu-lagu seperti Kasih Putih, Januari, Akhir Cerita Cinta, Sedih Tak Berujung, Hingga Terserah, begitu besar maknanya dalam menyampaikan kisah cinta, kehilangan dan harapan dengan kejujuran yang menyentuh jiwa.

“Bait lirik yang puitis dan melodi yang penuh nuansa telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup banyak orang.

 

“Warisannya tak hanya hidup dalam karya, tetapi juga dalam nilai-nilai yang diperjuangkan: keberagaman, perdamaian, dan kemanusiaan,” kata Ibram Putra selaku penganjur konsert bekenaan.

Untuk pertama kalinya, teknologi hologram akan mewujudkan keajaiban di atas panggung Zepp KL dengan kehadiran ‘hidup’ daripada susuk Glenn Fredly sendiri.

“Dengan semangatnya yang selalu hangat, karya-karyanya yang menembus zaman dan pesannya yang menenangkan, ini masanya untuk kita sama-sama berkumpul meraikan kenangan,” tambah Ibram.

Bergabung

Tidak sekadar menghidupkan hologram semata-mata, konsert berkenaan turut disertai MuCa Ayu (isteri Glenn Fredly), Ryan D’Masiv, serta penampilan Noh Salleh dan Nadira Adnan.

Mereka akan bergabung dengan The Bakuucakar, band pengiring asal Glenn Fredly, menyatukan cinta dan harmoni dalam sebuah tribut yang intim dan tulus.

“Bukan hanya sebuah pertunjukan, ini ruang suci untuk mengenang, merenung, dan merayakan nilai-nilai yang ditinggalkan Glenn.

“Inilah masa untuk meraikan cinta yang menyatukan, muzik menyembuhkan dan pesan damai yang abadi,” kata Ibram. 

“Kami yakin perindu dan peminat karya Glenn Fredly di Malaysia ini menantikan saat ini bagi memenuhi rindu dan kenangan,” ujar Anuar Osman daripada Matahati Sdn. Bhd. selaku rakan promotor konsert ini.

Bukan sekadar hiburan, konsert ini akan menjadi tonggak sejarah di dunia muzik Asia Tenggara dan sebuah bukti bahwa teknologi boleh menjadi jambatan antara kenangan.

Ayuh menjadi sebahagian daripada sejarah dalam malam yang penuh dengan emosi dan kenangan.

Maklumat lanjut, layari Instagram @premierlivepro, @bumientertainment @musikbagusrecords dan glennfredlymusik.

Tiket-tiket bermula harga RM188 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI